AmArtikelBeritaLatest

Majlis Ukiran Budi Sulaman Kasih

Bertempat di Dewan Ibnu Sina, pada hari Jumaat bersamaan 12 Mei 2023 yang lalu telah diadakan Majlis Ukiran Budi Sulaman Kasih bagi meraikan persaraan pegawai-pegawai KMKPh iaitu YM T.Mohd Asri bin T.Hashim dan Puan Rozana binti Saad @ Ishak. Anak kelahiran Terengganu, YM T. Mohd Asri bin T. Hashim merupakan Pensyarah dari Unit Pendidikan Islam dan Moral manakala Puan Rozana binti Saad @ Ishak merupakan Penolong Akauntan di Unit Kewangan. YM T. Mohd Asri mula memasuki perkhidmatan awam pada Julai 1996 manakala Puan Rozana pula pada Oktober 2010.

Ketibaan pegawai yang diraikan bersama pasangan masing-masing kira-kira jam 9.15 pagi telah disambut dengan kereta berhias dalam suasana yang meriah dan mesra. Persembahan silat oleh pelajar menjadi tirai pembuka majlis dengan perarakan bunga manggar dan bunga pahar mengiringi masuk pegawai-pegawai ke Dewan Ibnu Sina. Majlis turut diselangi dengan tayangan video kenangan pegawai yang diraikan serta gimik persaraan di kemuncak majlis. Sesi bergambar bersama warga setiap jabatan di atas pelamin yang dihias indah dan sesi bersalaman dan bermaafan sudah pasti menjadi ingatan dan kenangan buat semua warga.

Seusai di Dewan Ibnu Sina, mengambil keberkatan sempena bulan Syawal, para pegawai dan warga kolej dijamu dengan pelbagai juadah hari raya di Kafeteria KMKPh. Kemuncaknya, majlis diakhiri dengan pegawai yang diraikan menaiki kereta berhias diiringi konvoi bermotosikal mengililingi kawasan sekitar kolej. Seluruh warga KMKPh merakamkan jutaan terima kasih kepada YM T. Mohd Asri dan Puan Rozana atas segala sumbangan dan bakti kalian selama berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan di KMKPh khasnya. Selamat bersara diucapkan dan semoga kalian sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan selamat maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi.