Aktiviti PelajarArtikelBerita

Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Online Sepenuhnya Di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang

Berikutan peningkatan kes pandemic COVID-19 dan arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh Majlis Keselamatan Negara melibatkan hampir keseluruhan negeri di Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memutuskan agar semua kolej Matrikulasi ditutup. Oleh yang demikian, pengajaran dan pembelajaran (PdP) Program Matrikulasi KPM diteruskan secara atas talian sepenuhnya dan pelajar melakukan ulangkaji kendiri bermula 19 Oktober 2020 sehingga 31 Disember 2020.

Sehubungan itu, para pensyarah dan pelajar telah bertungkus lumus meneruskan aktiviti PdP dengan pelbagai alternatif agar pengajaran dan pembelajaran (PdP) tidak terjejas. Antara inisiatif para pensyarah dalam melaksanakan pdp adalah pensyarah dan pelajar berkomunikasi secara langsung menggunakan kaedah Google Meet. Selain dari itu perbincangan melalui Whatsapp dan Telegram turut diteruskan di luar waktu jadual pembelajaran utama untuk memastikan sebarang soalan dan pertanyaan pelajar berkenaan masalah pembelajaran dapat dibantu. Pelajar juga dilatih untuk menggunakan bahan rujukan akademik dari Youtube sebagai rujukan tambahan dengan kawalan pensyarah masing-masing. Pensyarah juga turut menggunakan platform Google Classroom dalam penghantaran dan semakan tugasan pelajar serta penyampaian nota bagi rujukan  pelajar. Selain dari itu, penggunaan aplikasi Quizizz dan Kahoot! turut digunakan bagi menarik minat pelajar di samping menggalakkan pembelajaran secara interaktif dan berkesan.

Sebilangan besar pelajar menunjukkan semangat untuk belajar dan memberikan kerjasama yang baik dengan kehadiran yang cemerlang. Gandingan mantap para pensyarah dan Jurulatih Utama Digital Classroom telah dapat membantu pelaksanaan PdP online dan penghasilan bahan pengajaran yang berkualiti terhasil di samping peningkatan kemahiran pengendalian alatan ICT yang baik. Penggunaan kaedah pembelajaran norma baharu ini membuktikan kecemerlangan akademik pelajar akan terus menjadi misi utama kolej bagi membangun potensi pelajar dalam bidang kejuruteraan melalui pendidikan pra universiti yang berkualiti tercapai.